nasi berlauk kelate, anyone?

Note: this story was in Kosmo dated March 7th, 2015. i just C&P the whole story in here just for a kenangan. first time noks masuk paper. oh, actually our 2nd time. the first time was in Berita Harian last Jan'15. Alhamdulillah rezeki for our team, Kak Noh Nasi Berlauk Online.


Nasi berlauk Kelantan diterbangkan ke KL 

“TAK basah dek hujan, tak lekang dek panas.” Begitulah kuatnya nilai tradisi yang sekian lama terterap di dalam diri seorang suri rumah sehingga sanggup ‘menerbangkan’ ratusan bungkusan nasi berlauk ikan tongkol dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur setiap hari Sabtu. Perniagaan Kak Noh Nasi Berlauk itu ditawarkan khusus bagi memenuhi cita rasa lidah masyarakat Kelantan meskipun juadah tersebut boleh didapati di Kuala Lumpur atau dimasak menggunakan resipi dan kaedah masakan yang sama. Sejak pukul 8 pagi, Mazhanim Mohamed, 35, dan beberapa ejen menunggu di ruang legar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mengambil bekalan nasi berlauk Kak Noh yang dimuatkan dalam kargo penerbangan Kota Bahru-Kuala Lumpur yang berlepas sekitar pukul 6.30 pagi. Hampir 30 minit menunggu, akhirnya gunungan kotak dengan cop ANB dan gambar wanita bertudung tiba di lokasi. Juadah tradisi Kelantan itu kemudian diagihkan kepada ejen mengikut kuantiti dan jenis sajian yang ditempah pelanggan masing-masing. “Pengagihan perlu dibuat secepat mungkin supaya pelanggan dapat menikmati juadah tersebut seberapa pantas dan makanan tidak rosak. Setiap jenis sajian akan diagihkan mengikut senarai tempahan yang diambil daripada pelanggan di laman sosial Facebook Kak Noh Nasi Berlauk. “Sehingga kini, kami mempunyai 20 ejen Kak Noh Nasi Berlauk yang mengambil tempahan untuk kawasan sekitar Shah Alam, Puchong, Kota Damansara, Wangsa Maju, Cheras, Ampang, Bangi, Gombak, Bangsar, Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan. Bekalan ini akan dibawa ke destinasi seperti yang dimaklumkan kepada pelanggan di Facebook dan pelanggan datang untuk mengambilnya,” jelasnya yang lincah mengagihkan sajian-sajian.

TEMPAHAN yang baru tiba di lapangan terbang diagih-agihkan kepada ejen masing-masing. dibuat dengan cepat untuk menjaga kualiti rasa hidangan. Sajian Menurut Mazhanim, terdapat 15 sajian yang ditawarkan seperti nasi berlauk ikan tongkol, nasi kerabu ikan celup tepung, sate perut ayam, nasi tumpang udang dan ikan. Selain itu, kuih-muih tradisi seperti jala emas, tahi itik, akok, buah tanjung dan nasi impit sambal kelapa juga disediakan. Beberapa sajian istimewa juga dijual setiap bulan seperti bubur asyura, martabak raja, ayam percik dan kuih-muih tradisi yang semakin jarang dihasilkan. Sajian tersebut dimasak dan disediakan oleh 10 peniaga tempatan di Kelantan yang rata-ratanya mempunyai rasa signatur tersedia dalam sajian masing-masing. Terdapat juga hidangan yang tidak boleh diterbangkan bagi menjaga kualiti sajian seperti puding raja, laksam, kuzi ayam dan roti jala. Walaupun makanan tersebut dihasilkan di Kuala Lumpur, sajian-sajian tersebut tetap dimasak oleh peniaga yang dibawa khas dari Kelantan. Sebagai pengasas Kak Noh Nasi Berlauk, Mazhanim memberitahu, perkhidmatan tersebut tercetus pada April tahun lalu apabila dia mengidam nasi berlauk semasa sarat mengan- dung anak ketiganya, Muhammad Emmett Ismail Che Hashim, sembilan bulan. Nasi berlauk yang dibeli di sekitar Kuala Lumpur ternyata tidak dapat memenuhi kemaruknya. Nasi berlauk di Kelantan mempunyai rasa manis ikan tongkol dan saiz ikannya lebih besar berbanding ikan tongkol nasi berlauk yang dijual oleh para peniaga di Kuala Lumpur. Nasi- nya pula menggunakan beras Siam dan dimasak pada suhu yang kecil. Nasi berlauk itu dijual pada harga RM5.50 sebungkus. “Saya kemudian memesan kepada saudara saya yang bercuti di kampung, di Kota Bahru, Kelantan untuk membawa pulang dua hingga tiga bungkus nasi berlauk. Bagaimanapun, saya rasa tidak berbaloi untuk membawa pulang cuma tiga bungkus nasi berlauk untuk perjalanan yang memakan selama lapan jam ke Kuala Lumpur. “Jadi, saya buka tempahan dan bertanya kepada rakan-rakan di Kuala Lumpur jika mereka juga ‘berhajat’ menikmati nasi berlauk yang dibeli dari Kelantan. Sejak itu, pesanan yang pada mulanya hanya kiriman kecil-kecilan kini menjadi tempahan tetap bulanan mencecah 4,000 hingga 6,000 bungkus pada hujung minggu,” katanya.

Perniagaan itu kata Mazhanim berkembang agak pantas menerusi aplikasi sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram. Ujarnya, nama Kak Noh diambil sempena nama jolokannya dalam kalangan rakan-rakan di Kelantan. Disebabkan kuantiti tempahan yang semakin meningkat, Mazhanim terpaksa menguruskan bekalan nasi berlauk menggunakan kargo kapal terbang. MAKANAN yang ditempah dibungkus dengan label ANB. Tempahan Dalam pada itu, tempahan dibuka kepada orang ramai menerusi laman Facebook Kak Noh Nasi Berlauk pada pagi Isnin berserta maklumat ejen-ejen yang bersedia mengambil pesanan sajian mengikut kawasan tertentu. Tempahan akan ditutup pada hari Khamis pukul 2 petang bagi memberi masa yang secukupnya kepada peniaga di Kelantan untuk mendapatkan bahan-bahan masakan diperlukan. “Kami mengambil bekalan di beberapa kawasan di Kelantan berdasarkan ujian kualiti rasa. Jadi bekalan-bekalan ini perlu disediakan oleh peniaga-peniaga di sana pada setiap subuh Sabtu, sebelum kru Kak Noh yang juga berada di Kelantan mengambil makanan untuk dibungkuskan dan dihantar ke lapangan terbang,” jelasnya. Menurut salah seorang ejen Kak Noh, Nor Amalina Majid, 33, pelanggan perlu membuat pembayaran terlebih dulu yang dimasukkan ke dalam akaun ejen masing-masing dan bukti pembayaran seperti gambar resit dihantar menerusi aplikasi WhatsApp. Sistem tersebut memudahkan urusan jual beli yang dibuat di setiap tempat pengambilan makanan. “Saya menjadi ejen untuk pelanggan di sekitar seksyen 14, Shah Alam. Saya akan maklumkan kepada pelanggan mengenai keberadaan saya di sana iaitu kebiasaannya pada pukul 9.30 pagi hingga 10.30 pagi. Jadi pelanggan yang membuat tempahan akan datang untuk mengambil tempahan masing-masing. Sehingga kini, sistem tersebut sangat efektif dan belum pernah terjadi kes makanan tidak diambil. “Sekalipun berlaku kejadian seperti itu, saya pasti bekalan yang kadang-kadang mencecah sehingga 300 bungkusan akan tetap habis kerana ramai pelanggan yang ingin menambah pesanan pada saat-saat akhir selepas menikmati hidangan itu,” katanya menambah, antara juadah lain yang turut mendapat permintaan tinggi ialah ketupat palas lemak dan ketupat palas serunding. Kebiasaan juadah tersebut hanya berpeluang untuk dinikmati ketika musim perayaan. Mengulas mengenai kualiti nasi berlauk yang dijual, Mazhanim berkata, sepanjang perniagaan itu, belum pernah lagi pelanggan mengadu nasi yang mereka terima sudah rosak. Tetapi risiko untuk nasi rosak tetap ada apabila berlaku perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti penerbangan ditunda ekoran cuaca buruk. Nasi berlauk (kiri) dan nasi kerabu antara sajian yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan. Amalina berkata, dia mendapat tempahan yang banyak apabila hujung bulan dan perniagaan agak perlahan pada musim cuti umum kerana orang ramai akan pulang ke kampung halaman ataupun meluangkan masa bersama keluarga. Salah seorang pelanggan, Nur Hanani Mohamed, 33, dari Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor lazimnnya membuat tempahan kepada Kak Noh Nasi Berlauk dua kali sebulan sebagai juadah sarapan pagi keluarganya. Menurut ibu kepada dua anak ini, dia menempah juadah tersebut sejak 11 bulan lalu. Nur Hanani lazimnya menempah nasi berlauk dan kuih-muih. “Anak-anak saya memang gemarkan sajian tradisi masyarakat Kelantan. Walaupun masih kecil mereka mampu menghabiskan sebungkus nasi berlauk. Rasa nasi berlauk ini memang istimewa dan mengingatkan kembali memori berada di kampung halaman di Kelantan,” katanya yang akan menikmati juadah sarapan di kedai menjual nasi sup di Pasir Mas setiap kali pulang ke kampung. Nor Hanani yang mengetahui mengenai perkhidmatan tersebut melalui laman sosial Facebook memberitahu, jarak dan masa tidak lagi menjadi penghalang untuk dia dan keluarganya menikmati sajian tradisi Kelantan. Sementara itu, Mazhanim berkata, sehingga kini Kak Noh Nasi Berlauk mendapat sambutan menggalakkan dengan jumlah pengikut lebih 8,000 di Facebook dan Instagram.

Dia juga menerima permintaan daripada peminat sajian tradisi Pantai Timur dari Selatan dan Utara tanah air. Bagaimanapun, ia masih dalam peringkat perancangan untuk menyediakan perkhidmatan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Info Kak Noh Nasi Berlauk Facebook:

www.facebook.com/KakNohNasiBerlauk Instagram: @KAKNOHNASIBERLAUK
WhatsApp: 019-351 2027
 Menu utama: Nasi berlauk ikan tongkol, nasi gulai ayam, nasi kerabu ikan celup tepung, nasi tumpang ikan, nasi tumpang udang
Harga: Bermula RM5.50 hingga RM26
Tempahan: Dibuka pada setiap pagi Isnin dan ditutup pada Khamis (2 petang).
Sajian tempahan akan diedarkan pada setiap pagi Sabtu mengikut lokasi agen.


 Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm&fb_action_ids=10206027157055152&fb_action_types=og.likes&fb_ref=.VPycFpuEBPE.like#ixzz3Tqnb1Sla

Hakcipta terpelihara

Comments

Dewi Aja said…
Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Oh ya, di sana anda bisa dengan bebas mendowload music, foto-foto, video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Popular posts from this blog

[outdated] kronologi part i

m0mmy yang cuak!